Dec 03, 2025 - FASSelangor FC akan berdepan Cebu FC bagi perlawanan ketiga saingan ACC Shopee Cup 2025/26 di Stadium Rizal Memorial, Manila pada jam 7 malam ini.
Beraksi buat kali pertama dalam saingan Piala Shopee, Selangor FC diundi dalam Kumpulan A bersama beberapa nama besar seperti Buriram United F.C., Tampines Rovers FC, Cebu FC, Công An Hà Noi FC dan BG Pathum United F.C.
Setakat ini, skuad Gergasi Merah berkongsi empat mata dengan BG Pathum United F.C. dalam Kumpulan A, namun masih mendahului carta dengan kelebihan satu jaringan. Lihat carta di sini.
Menurut Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, pasukan akan terus berikan cabaran yang tinggi walaupun beraksi di atas padang sintetik.
“Cebu FC kini mempunyai lebih kekuatan dan kualiti, dan mereka pasti akan memberikan cabaran besar kepada pasukan. Bermain sebagai pasukan pelawat juga tidak pernah mudah, terutamanya di atas permukaan padang yang bukan kebiasaan para pemain. Namun, pemain sudah tahu apa yang perlu dijangka dan kami bersedia menghadapi cabaran itu,” jelas Gamel.
“Saya percaya para pemain akan kekal fokus dan komited untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan mencabar ini. Pasukan akan berikan saingan yang tinggi dan terus berjuang untuk mendapatkan mata pada malam ini,” tegas beliau.
Dari segi keberadaan pemain, Sharul Nazeem tidak dapat bersama pasukan akibat kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL). Zikri Khalili berada pada fasa akhir pemulihan sebelum kembali bersama rakan sepasukan, sementara Haiqal Lau kini sepenuh kembali menjalani latihan dan aktiviti bersama pasukan. Beliau dan para pemain Gergasi Merah yang tersenarai hari ini akan terus memberikan persembahan terbaik bagi menambah jurang dalam carta Kumpulan A saingan ACC Shopee Cup 2025/26.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin bahawa pasukan akan terus fokus dan berikan saingan sengit kepada Cebu FC. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!